16 September 2014
UPSR 2014 ada masalah
Kertas Sains ditangguhkan dan kertas Bahasa Inggeris terpaksa diulang semula kerana bocor. Kedua-dua kertas ini akan dijalankan pada 30 September 2014, hari Selasa.
19 August 2014
Persiapan UPSR 2014
Di bawah ini adalah gambar-gambar sekitar program-program peningkatan UPSR 2014 SK Tapu, Hulu Terengganu. Di antara program tersebut adalah seperti Kelas Malam, Kelas Tambahan Petang, Kelas Tambahan Hujung Minggu, Kelas Tambahan Cuti Terancang (cuti pertengahan penggal dan cuti penggal), Kelas Kumpulan Kecil (pagi dan petang), Program Temu Murni, solat hajat & bacaan yasin di surau sekolah(setiap hari) dan program solat hajat & bacaan yasin di Masjid Abidin(masjid Negeri) di Kuala Terengganu serta bersantai di Taman Rekreasi Batu Burok. Untuk makluman dan ingatan, keputusan Peperiksaan Percubaan baru-baru ini 100% lulus semua mata pelajaran (LSMP) dengan empat orang mendapat 5A.
03 August 2014
Hari Raya Aidilfitri 2014
Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini jatuh pada hari Isnin 28 Julai 2014. Kali pertama aku sambut raya di kediaman baruku bersama isteri dan anak-anakku. Meriah dengan kunjungan adik-adik seisi keluarga dan juga adik-adik ipar bersama keluarga masing-masing serta anak-anak buah juga bersama keluarga. Harapannya semoga tahun-tahun akan datang akan lebih meriah...in sha Allah.
27 July 2014
Sakit otot dan sendi..
Akhir-akhir ini aku selalu sahaja terasa lenguh-lenguh pada peha dan betis, otot-otot di bahagian-bahagian itu juga terasa sengal-sengal, amat menyiksakan. Akan tetapi, seboleh-bolehnya aku cuba melawan rasa sakit dan lenguh itu setakat termampu. Tiada siapa pun yang meminta supaya penyakit datang kepadanya. Namun, apabila tiba saatnya sepertimana yang telah tersurat, ia akan datang tidak mengenal siapa, tidak mengenal usia, lebih-lebih lagi mereka yang hampir menjejaki usia emas. Disaat keadaanku begini, aku amat memerlukan sokongan terutamanya dari seseorang yang paling rapat denganku. Namun...ya lah, aku hanya menumpang...aku sedar aku hanya menumpang, aku tak punya apa-apa..
18 July 2014
Ramadhan al Mubarak 1435H/2014M
1 Ramadhan 1435H bersamaan 29 Jun 2014. Maka umat Islam di Malaysia mula berpuasa untuk selama sebulan sehingga 27 Julai 2014. Hari Raya Aidilfitri iaitu 1 Syawal akan disambut pada 28 Julai 2014. Penjawat awam akan diberi cuti hari raya selama dua hari iaitu pada 28 dan 29 Julai (Isnin dan Selasa) pada asasnya. Bagi persekolahan, hari Ahad diberi cuti peristiwa manakala hari Rabu dan Khamis cuti berganti (yang telah pun diganti dalam bulan Mei dan Jun yang lalu). Secara tidak langsung guru-guru juga akan mendapat cuti selama seminggu sempena hari raya pada tahun ini.
17 April 2014
Aktiviti Bahasa Inggeris 2014
Bertugas sebagai hakim dalam acara Poetry Recitation, Karnival Perpaduan Bahasa Inggeris Peringkat Daerah Hulu Terengganu Tahun 2014. Program telah dijalankan di SK Kuala Berang bermula dengan pendaftaran peserta pada jam 8.30 pagi. Acara-acara yang dipertandingkan ialah Story Telling, Public Speaking, Poetry Recitation dan Action Song. Majlis penyampaian hadiah dan penutup disempurnakan bermula jam 12.00 tengahari.
Subscribe to:
Posts (Atom)

















































